Monday, October 4, 2010

Mari Doakan Ayahanda Tun Mahathir

  1. Kita dikejutkan pada hari Sabtu lepas 2.10.2010 bahawa Ayahanda Tun dikejarkan ke Hospital setelah mengadu sakit dada.

  2. Ketika ini beliau dilaporkan dalam keadaan stabil.

  3. Justeru, marilah kita mengambil kesempatan mendoakan pemimpin ulung negara dan umat Islam itu kembali sembuh dengan segera.

  4. Moga Allah memperkenankan doa kita.. ameen.

Friday, October 1, 2010

Patutkah Pelajar Dihukum Kerana Bergiat Aktif Dalam Bidang Politik?

  1. Para pelajar universiti atau juga dikenali sebagai golongan mahasiswa acapkali dilihat sebagai suatu kelompok harapan yang bakal meneruskan agenda memacu serta membudayakan kejayaan negara ini dikemudian hari. Golongan ini seringkali dijadikan sebagai kayu ukur untuk mencongak kelestarian pembangunan serta kepimpinan negara, bahkan adalah tidak menjadi keterlaluan untuk dikatakan bahawa jatuh bangun masa hadapan sesebuah negara bangsa bergantung kepada golongan ini.

  2. Sudah tentu, dalam proses memperkasakan golongan ini, mahasiswa tidak dapat lari daripada berhadapan dengan pelbagai corak dan rekayasa idealisme yang sudah lama mengakar dan menjadi pegangan mana-mana pertubuhan serta organisasi pelajar di peringkat kampus. Dengan membudayakan idealisme tersebut, maka mahasiswa percaya setiap rencana yang digarab bakal memperlihatkan mereka sebagai pejuang dan pemenang hak keseluruhan masyarakat mahasiswa bahkan ada yang mengandaikan mereka sebagai golongan yang sentiasa menyuarakan pendapat dan suara masyarakat umum. Hal demikian, pada pendapat penulis memerlukan kemahiran dan seni berpolitik ala kampus.

  3. Walau bagaimanapun, dalam usaha mereka memugar idealisme, arus tindakan yang diambill seringkali tersasar serta dibayangi oleh mana-mana pertubuhan politik luar, sedangkan mereka tidak seharusnya alpa bahawa apa jua tindakan yang diambil perlulah secocok dengan status serta adab tata susila mereka sebagai mahasiswa tanpa pengaruh mana-mana politik luar arus perdana yang bersifat kepartian bahkan sudah semestinya segala daya usaha yang digerakkan perlulah tuntas kepada kaedah-kaedah yang telah termaktub di dalam peraturan-peraturan universiti serta Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU 1971). Harus diingat bahawa, tindakan di bawah AUKU 1971 yang berbentuk hukuman tatatertib boleh diambil terhadap mana-mana mahasiswa yang melanggar batas-batas yang ditetapkan di bawah AUKU 1971 apabila bergiat aktif di dalam politik kepartian.

  4. Menyedari serta menginsafi akan hakikat ini, maka penulis akan membincangkan, apakah wajar bagi pelajar dihukum apabila terbukti bahawa mereka bergiat aktif dalam bidang politik.

  5. Maka apabila kita berbicara berkenaan AUKU 1971, terdapat suara-suara picisan yang mencanangkan bahawa hak serta kebebasan mahasiswa bersuara dan berpolitik disekat sedangkan sebagai sebahagian daripada warganegara, hak mereka untuk menganggotai mana-mana pertubuhan serta menyuarakan pendapat adalah suatu hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Justeru, apabila mana-mana individu mahasiswa ditahan serta dibicarakan kerana telah mencabuli peruntukan AUKU 1971, seringkali dipersonifikasikan mereka ini sebagai golongan yang dinafikan hak dan kebebasan lantaran kebobrokan AUKU 1971.

  6. Menyingkap peruntukan undang-undang di bawah AUKU 1971 khususnya seksyen 15 AUKU 1971, prasyarat serta lunas-lunas telah dengan jelas diungkap. Seksyen 15(1)(a) dan seksyen 15(2)(a) sudah dengan terang melarang mahasiswa daripada menganggotai mana-mana parti politik serta terlibat dengan mana-mana pertubuhan yang bersekutu dan bersekongkol dengan mana-mana parti politik.

  7. Sebagai hukuman bagi mahasiswa yang bergiat aktif dalam pertubuhan politik, subseksyen (7) bagi seksyen 15 AUKU 1971 memperuntukkan bahawa tindakan disiplin harus diambil bagi mahasiswa tersebut. Ini jelas bahawa, peruntukan AUKU 1971 bukan hanya menetapkan kaedah-kaedah tertentu, bahkan memperuntukkan juga hukuman-hukuman tertentu apabila mana-mana peruntukannya telah dicabar sepertimana s 16C AUKU 1971.

  8. Kendatipun begitu, berdasarkan kepada perubahan landskap budaya pemikiran dan keterbukaan minda, s 15 AUKU telah dipinda dengan memberikan sedikit kelonggaran kepada mahasiswa untuk terlibat di dalam politik kepartian. Namun, kelonggaran tersebut adalah bersandarkan kepada lunas-lunas tertentu yang akan ditentukan oleh Menteri. Jika diperhatikan secara halus, pindaan tersebut bukanlah dibuat berdasaran kepada kebobrokan s 15 AUKU 1971 khususnya dan AUKU 1971 amnya, tetapi pindaan tersebut adalah lebih bersifat menyeluruh dan holistik dalam menggayakan AUKU 1971 di persada manifestasinya berkenaan pentadbiran universiti dan pelajar. Hal ini dapat dilihat melalui objektif pindaan AUKU 1971 yang disuarakan Menteri semasa di sidang Dewan Rakyat.
    “Saya melihat secara positif pindaan AUKU ini akan dapat memperbaiki tadbir urus universiti dan pendidikan tinggi secara holistik kerana:-

    (i) menambah baik proses perundingan secara demokrasi dari segi pelantikan Naib Canselor, Ketua Kampus, Keanggotaan Senat, Pelantikan Dekan, ketua sekolah, institut, pusat dan akademik;

    (ii) keterbukaan, ketelusan dan accountability dengan menubuhkan
    Jawatankuasa Pengurusan Universiti yang bertujuan untuk menasihati Naib Canselor;

    (iii) menambah autonomi kepada universiti dengan memindahkan beberapakuasa Yang di-Pertuan Agong dan menteri kepada Lembaga Pengarah Universiti, Senat, dan Naib Canselor;

    (iv) memberikan perincian pembahagian fungsi dan kuasa Lembaga Pengarah Senat dan Naib Canselor dengan lebih jelas dan teratur;

    (v) penyelesaian pertikaian antara pihak berkuasa universiti boleh dijalankan dengan lebih berkesan dengan penubuhan satu panel penyelesai pertikaian;

    (vi) penyelidikan inovasi dan pengkomersialan akan dapat dihebatkan kerana dibolehkan pemindahan dan wujud mobiliti perkhidmatan pekerja dan pensyarah antara universiti-universiti;

    (vii) pengantarabangsaan pendidikan tinggi akan dapat dicapai kerana pindaan akta ini membenarkan menteri untuk menubuhkan kampus cawangan universiti di luar negara;”

  9. Menyonsong seksyen 15 AUKU 1971 juga, Naib Canselor sepertimana subseksyen (4) diberikan kuasa untuk mengecualikan mana-mana individu mahasiswa untuk menganggotai mana-mana pertubuhan parti politik, dan hal ini juga terletak hak kepada Naib Canselor untuk menentukan syarat-syarat yang difikirkan wajar olehnya. Maka jelas terdapat kelonggaran untuk mahasiswa menganggotai serta menjadi ahli mana-mana pertubuhan politik berdasarkan peruntukan ini walaupun bersyarat.

  10. Konotasi yang dapat digarab adalah, bukanlah mahasiswa disekat hak dan kebebasan mereka bersuara sepertimana diwar-warkan, bahkan seksyen 15 dengan jelas memberikan kelonggaran yang luas untuk mereka berbuat demikian, asalkan tidak terlibat dengan pertubuhan yang menyongsang daripada batas-batas keluhuran sebagai warganegara dan adab tatasusila seseorang yang bergelar mahasiswa.

  11. Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan telah memberikan kebebasan dan hak untuk mana-mana warganegara untuk bersuara serta hak menganggotai mana-mana perhimpunan dan pertubuhan. Begitu juga dengan perkara 2, 3, 6, 19 dan 20 The Universal Declaration of Human Rights (UDHR). Tetapi persoalannya, adakah hak dan kebebasan ini merupakan sesuatu yang ekslusif dan mutlak tanpa batas-batas serta norma-norma tertentu?

  12. Menuruti kerangka Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, jelas di bawah klausa (2)(C) serta klausa (3), satu konotasi yang jelas dapat dilihat, iaitu hak dan kebebasan ini bukanlah sesuatu yang mutlak, tetapi adalah terbatas bertunjangkan kepada keselamatan negara, ketenteraman awam dan berkaitan isu moral.

  13. Justeru, mana-mana peraturan universiti selaras s 16C AUKU 1971 yang membataskan penglibatan aktif mahasiswa dalam politik serta menyediakan hukuman tertentu, bukanlah sesuatu yang akas kepada Perlembagaan Persekutuan kerana s 16C memberikan kuasa kepada pihak universiti untuk berbuat demikian tuntas kepada perkara 10(2)(c) dan (3) Perlembagaan Persekutuan.

  14. Maka kewajaran mengapa mahasiswa dilarang daripada bergiat aktif dalam politik selaras peruntukan s 15 AUKU 1971 adalah untuk memastikan kebajikan dan keselamatan mahasiswa keseluruhannya terjamin serta memelihara institusi pengajian daripada terpesong daripada matlamat utama melahirkan cendiakawan generasi pewaris kepimpinan negara.

  15. Menyinsing isu ini, terngiang di minda saya ungkapan seorang tokoh politik muda (ketika itu) Hishamuddin Rais yang menyatakan “hanya anak muda saja yang bisa mendobrak zaman”. Antara lain ianya memberikan pengertian bahawa hanya mahasiswa sahaja yang mampu menjana serta menggiatkan perubahan negara. Ironinya, apakah peranan golongan tua kebanyakan tidak boleh disandarkan tanggungjawab sebagai agen perubahan?

  16. Pada pendapat penulis, ada juga kebenarannya pada ungkapan tersebut, kerana golongan muda mahasiswa merupakan golongan yang semangat mereka berkobar dan mempunyai idea segar mahu melihat negara yang tercintai berkembang maju. Justeru, mereka boleh sahaja berjuang dalam kelompok mahasiswa demi mengangkat martabat negara bangsa. Berjuang dalam lapangan ini, bukan hanya boleh dicapai melalui introdiknasi dan bergiat aktif dalam politik kepartian. Jika parti politik berjaya sebagai ‘agen perubahan’, mana contoh yang ada yang dapat kita persembahkan di mata masyarakat?

  17. Dengan persatuan, tanzim dan organisasi yang ada pada ketika ini, pada pendapat penulis, ianya sudah cukup untuk membina sahsiah, keterampilan dan karisma bakal pewaris kepimpinan negara. Selain boleh bergiat aktif dalam pelbagai pertubuhan yang memperjuangkan objektif pelbagai di peringkat universiti yang melimpahi peranan mereka pada masyarakat luar, mahasiswa juga dibenarkan terlibat dalam ‘parti politik kampus’ semasa pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar universiti masing-masing. Umum mengetahui bahawa politik kampus ketika pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar adalah persis kepada konsep pilihanraya kepartian di luar. Melalui saluran ini, sewajarnya mahasiswa dapat mempelajari selok belok budaya berpolitik serta sepatutnya memugar idea politik bersih dan menjadi contoh semasa berjuang di pentas arena politik kepartian di luar setelah tamat pengajian kelak.

  18. Kita dapat melihat banyak contoh-contoh pemimpin serta bekas pemimpin negara pada suatu ketika bergelar pelajar dan mahasiswa, berjuang bukan sahaja untuk mahasiswa di peringkat universiti tetapi juga turut berjuang untuk masyarakat dan rakyat marhaain.

  19. Secara kesimpulannya, jawapan bagi persoalan mauduk ini pastinya mengiyakan kewajaran mahasiswa di kenakan hukuman apabila dengan sorih dan nyata terbukti bahawa mereka terlibat dengan politik kepartian luar. Kewajaran ini bukanlah secara objektifnya mahu menghukum individu mahasiswa terbabit semata-mata, bahkan ianya mencakupi tujuan yang lebih menyeluruh iaitu matlamat memperkasakan mahasiswa dari segi sahsiah, keterampilan dan budaya ilmu seterusnya melonjakkan nama universiti dan Institusi Pengajian Tinggi tempatan ke peringkat yang disegani dunia sebagai sebuah institusi ilmu ulung.

  20. Berdasarkan kepada perbincangan di atas juga menampakkan bahawa cacaian mengatakan golongan mahasiswa dinafikan hak bersuara dan beroganisasi adalah sama sekali tidak tepat dan hanya bersifat omongan semata-mata bahkan berbaur agenda terselindung tertentu. Jelas AUKU 1971 tidak menyekat bahkan bukanlah suatu bentuk sekatan (pada pendapat penulis), sebaliknya ianya adalah suatu tatacara untuk mahasiswa bergerak mengorak langkah membudayakan ilmu dan norma-norma positif selari dengan dasar dan Pelan Strategi Pendidikan Tinggi Negara.

  21. Memang benar, tedapat galakan mahupun persatuan serta pertubuhan mahasiswa di universiti luar negara yang condong secara terangan menyokong mana-mana parti politik luar seperti Nipissing University, Canada dan Oxford University Labour Club. Persoalannya, adakah kesemua yang di luar itu secocok dan muluk-muluk untuk diterima pakai di Institusi Pengajian Tinggi tempatan? Sedangkan kita punyai pelbagai persatuan dan pertubuhan mahasiswa berdaftar yang banyak seperti Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), bergerak secara non-partisan kepada mana-mana parti politik yang telah dari dulu mengakar dan merimbun memperjuangankan bukan sahaja hak dan kebajikan mahasiswa bahkan rakyat keseluruhannya. Maka isu AUKU 1971 dikatakan melesukan mahasiswa dan menyebabkan kebejatan pemikiran mahasiswa adalah suatu pendapat yang ngobrol.

  22. Akhirnya, molek kiranya penulis memetik kata-kata seorang pejuang zaman Mohamad Natsir yang juga dikenali ‘Pak Natsir’ sebagai menyokong penulisan makalah ini sebagai renungan bersama, “Pemimpin tidak lahir di bilik kuliah, tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas di kancah, muncul ditengah-tengah pengumulan masalah, menonjol dari kalangan rakan-rakan seangkatannya lalu diterima dan didukung oleh umat”.

Salam buat semua..

  1. Rasanya sudah lama saya tidak menulis di laman blog ini. Disebabkan faktor pekerjaan yang bertambah telah membataskan sedikit sebanyak peluang dan ruang saya untuk mencoretkan idea serta rasa denyut nadi saya bagi berkongsi bersama pembaca blog ini.

  2. Diharapkan kalian semua baik dan sentiasa berada di lembayung kesejahteraan dan rahmat Ilahi, insyaAllah.

  3. Dikesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua muslimin dan muslimat serta masyarakat Malaysia amnya.

  4. Marilah kita berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk bersama mengangkat martabat ummat dan negara agar menjadi mercu tanda sebuah negara Islam yang hebat dan disegani. Oleh yang demikian, melaluinya nama ISLAM kan terus indah.

  5. Nampaknya, banyak idea yang terlintas di fikiran saya, insyaAllah saya akan kongsikan disini.

LAWATAN KE AIR ASIA - suatu pengalaman berharga

  1. Umum mengetahui bahawa Syarikat Penerbangan Air Asia merupakan syarikat penerbangan tambang murah pertama di Asia. Sebagai mendekati masyarakat kebanyakan ketika awal penubuhan dan perkenalannya pada tahun 1993 dan mula beroperasi pada 18 November 1996, Syarikat Penerbangan Air Aisa telah mencetuskan suatu tanda nama ‘Now everyone can fly’ atau dalam bahasa Malaysia ‘sekarang semua orang boleh terbang’.

  2. Tidak dapat dinafikan, sewaktu awal penubuhan dan perkenalannya dengan masyarakat, tanda nama tersebut amat terkesan di hati masyarakat yang antara lain telah sedikit sebanyak meluputkan perasaan dan tanggapan serta persepsi bahawa hanya mereka yang berkemampuan sahaja mampu menaiki kapal terbang sebagai alat pengangkutan ke destinasi tertentu. Maka kelahiran Syarikat Penerbangan Air Asia sebagai syarikat penerbangan alternatif dalam negara seringkali diperkatakan oleh sebahagian masyarakat negara ini, walaupun ketika itu tidak banyak destinasi penerbangan yang di tawarkan dek lantaran harga tambangnya yang sangat murah berbanding syarikat penerbangan yang lain.

  3. Masih lagi segar dalam ingatan penulis bahawa, ketika pada era ‘setahun jagungnya’, terngiang dalam kotak fikiran penulis, mana mungkin syarikat penerbangan ini mampu bertahan kerana, apalah sangat keuntungan yang mampu diperolehi jika dilihat kepada harga tiket penerbangan yang ditawarkan. Masih teringat pada waktu tersebut, Air Asia sering menawarkan tiket berharga hanya RM1 ke destinasi pilihan tertentu dan adakalanya dengan membuat tempahan awal, penumpang hanya perlu membayar cukai lapangan terbang sahaja.

  4. Ternyata, jangkaan penulis kini meleset. Pada 2 haribulan Julai 2010 yang lalu, penulis telah bertuah kerana berkesempatan menyertai sesi lawatan bersama perserta dan calon-calon kursus Pusat Penilaian Kompetensi (PPK) yang lain ke Low Cost Carrier Terminal (LCCT), Sepang. Di sana, penulis melihat betapa, dahulunya Syarikat Penerbangan Air Asia yang kerdil telah sekarang menjadi salah sebuah syarikat penerbangan yang wajib disegani. Jika dahulunya, hanya beberapa destinasi domestik sahaja yang ditawarkan, sekarang terdapat pelbagai destinasi bukan sahaja domestik malahan antarabangsa.

  5. Kami juga ditaklimatkan oleh wakil daripada pihak Air Asia bahawa Syarikat Penerbangan Air Asia telah memenangi beberapa anugerah dan yang terkini pada bulan Jun 2010, Air Asia telah dianugerahkan sebagai pemenang Best Low-Cost Airlines Worldwide dan Best Low-Cost Airlines Asia. Penulis percaya, dengan anugerah tersebut, nama Syarikat Air Asia telah mekar dan dikenali masyarakat antarabangsa dan kewujudannya telah dirasai bukan melalui kelemahan dan keburukan, tetapi melalui namanya yang harum dan gah di persada antarabangsa.

  6. Kalau dahulunya, kita hanya kenali Air Asia sahaja, tetapi sekarang, Syarikat Penerbangan Air Asia telah melebarkan sayap keperkasaannya di beberapa negara lain dengan menubuhkan anak-anak syarikat seperti Thai AirAsia, Indonesia AirAsia, Viet Jet AirAsia dan Air Asia X. Malahan Air Asia juga telah mempunyai anak syarikat yang mengoperasikan hotel di beberapa lokasi yang dikenali sebagai Tune Hotels serta juga telah menceburi bidang telekomunikasi yang dikenali sebagai Tune Talk. Justeu berdasarkan kepada perkembangan tersebut, maka selayaknyalah, Syarikat Penerbangan Air Asia memenangi beberapa anugerah yang dimenanginya selama ini.

  7. Terlintas dihati penulis, apakah dasar dan asas-asas kepada kemenangan Syarikat Air Asia ini, kalau bukan kepuasan hati penumpang dan syor positif mereka. Maka, tanpa kita sedari, semuanya dan segalanya adalah tuntas kepada perkhidmatan yang sangat baik yang telah dianjurkan kepada semua penumpang-penumpang Air Asia. Ini adalah kerana, jika tiada kepuasan hati penumpang, dan tiada syor positif daripada penumpang, maka mustahil untuk Syarikat Penerbangan Air Asia memenangi anugerah-anugerah tersebut. Penulis percaya, perkhidmatan yang terbaik wajib selari dengan kehendak penumpang, walaupun Air Asia adalah syarikat penerbangan tambah murah.

  8. Terpahat dalam ingatan penulis, sepertimana ditaklimatkan oleh wakil Air Asia tersebut, biarpun Air Asia adalah syarikat penerbangan tambang murah, bukanlah bermakna perkhidmatan yang ditawarkan juga adalah murah. Bahkan Air Asia sering melakukan perubahan dan anjakan positif bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan demi menjamin sokongan mereka kepada Air Asia. Penulis juga ditaklimatkan bahawa, Air Asia sedang membina terminal terbarunya di KLIA-Timur, Labu yang menelan belanja 460 juta dolar setelah mendapat kebenaran kerajaan pada awal Februari 2009.

  9. Maka apa yang dapat dijadikan pengajaran bahawa, kemenangan dan kejayaan bukanlah suatu yang timbul dengan segera dan serta merta, tetapi ianya menuntut kepada pengorbanan dan usaha yang gigih biarpun sekecil mana kita. Walaupun bermula dengan kecil, tetapi jika kita mempunyai jiwa yang besar, cita-cita yang tinggi, keazaman yang kental dan idea yang malar segar, nescaya kita mampu melonjakkan paradigma dan keberhasilan kita.

  10. Lihat sahaja pada Air Asia, bukan sahaja mereka punyai apa yang telah disebutkan di atas, tetapi sistem yang teratur dan mantap juga telah menjadi pendorong dan pemangkin kejayaan mereka masa kini dan masa akan datang. Tidak guna jika kita punyai idea yang membuak-buak, tetapi sistem dan tatacara kita pincang, kerana sistem yang pincang itu pasti akan membunuh dan membantutkan idea bernas yang dicanangkan. Setiap kejayaan pastinya diperolehi dengan cara susun atur system yang betul dan tepat.

  11. Penulis melihat, dengan melahirkan idea harga tambang murah, Air Asia telah menjadi sistem pengangkutan yang berlainan dengan syarikat penerbangan yang lain. Untuk berlainan dengan yang lain bukanlah suatu kejanggalan, malahan mungkin akan menjadi pilihan jika kena dengan caranya bahkan sifat keberlainan itu juga dapat menjuarakan idea-idea yang segar tadi di dalam memastikan kejayaan di masa hadapan. Sikap inilah yang sangat jarang kita temui masa kini pada setiap individu. Untuk berlainan dengan rutin seringkali dilihat sebagai penongkah arus.

  12. Lihat sahajalah Air Asia sebagai contoh dengan sikap berlainan dan berlapang dada yang ditunjukkan, mereka tidak meletakkan keuntungan yang serta merta menjadi sandaran, tetapi biarpun mengaut keuntungan yang minima melalui harga tiket yang sangat rendah, tetapi mereka optimis untuk memenangi hati pelanggan dan mencitakan keuntungan dan kejayaan jangka panjang yang berterusan. Sikap beginilah yang seharusnya menjadi contoh dan teladan kepada kita semua, dan sepatutnya kita renungkan.

  13. Melalui lawatan tersebut juga, penulis berkesempatan untuk meninjau dan melihat bagaimana kakitangan Air Asia berkerja. Penulis dapat melihat, pakaian pekerja adalah bebas secara kasual tetapi kemas. Perkara ini juga suatu yang berlainan pada pendapat penulis. Dalam erti kata lain, pekerja dan kakitangan Air Asia dianjurkan untuk merasai dan bersama dengan pelanggan tanpa ada sedikit perbezaan kepada keterampilan mereka.

  14. Penulis juga hairan dengan cara penempatan kakitangan Air Asia di dalam pejabat. Tiada bilik –bilik khas pegawai, bahkan pegawai dan kakitangan diletakkan secara terbuka pada ruang pejabat mereka, dan ini telah ditaklimatkan oleh wakil Air Asia sebagai melahirkan semangat satu pasukan dan kebersamaan antara mereka. Penulis terpanggil untuk merasai betapa indahnya idea tersebut. Melaluinya tiada perbezaan darjat antara pegawai dan kakitangan, bahkan ianya pasti melahirkan suasana kerja yang rancak demi mencapai cita-cita yang satu iaitu kejayaan, kerana kejayaan bukan sahaja dicapai melalui usaha pegawai semata-mata, bahkan ianya usaha kolektif keseluruhan organisasi Air Asia.

  15. Penulis juga terkesima dengan cara kakitangan Air Asia berkerja dalam memenuhi hasrat organisasi dan pelanggan. Masing-masing menumpukan perhatian penuh kepada kerja mereka, suasana sangat senyap bahkan kehadiran kami seolah tidak dirasai mereka dek kekhusyukkan melakukan kerja yang diamanahkan. Alangkah baiknya jika semua organisasi tidak kira swasta atau kerajaan mencontohi cara kakitangan Air Asia berkerja.Merenung sejenak kepada apa yang diperhatikan oleh penulis, dengan disiplin yang tinggi, seseorang individu dan organisasi tertentu pasti akan memperoleh kejayaan.

  16. Secara kesimpulannya, penulis berpendapat kita sewajarnnya mengambil pengiktibaran dan contoh dengan merenung bagaimana Syarikat Air Asia berjaya meletakkan nama mereka se-gah kini yang telah dihasilkan melalui cara mereka memberikan perkhidmatan kepada penumpang dan pelanggan. Biarpun terdapat kekurangan di sana- sini, tetapi Air Asia tidak sunyi daripada terus berusaha memperbaiki mutu dan kualiti perkhidmatan biarpun hanya bergelar syarikat penerbangan tambang murah. Dengan menyertai lawatan tersebut juga, penulis dapat mempelajari dan memperbaiki diri dengan mengambil contoh yang baik di sana dan berharap ianya dapat diterjemahkan dalam tindakan penulis pada hari yang mendatang.