Tuesday, April 26, 2011

ORANG MELAYU WAJIB FAHAMI PERLEMBAGAAN

1. Ketika menyemak laman web loyarburok.com, terkesima saya bilamana terbaca suatu makalah yang ditulis oleh seorang insan perempuan Melayu berkenaan dengan perihal kalimah Allah di dalam Bible (mngkin juga dia bukanlah sepertimana dinyatakan sebagai dia Melayu di dalam web tersebut).

2. Penulisan ini bukanlah mahu mengungkit isu yang sudahpun sejuk berikutan kes telah dibawa ke Mahkamah dan tiada juga niat untuk memprejudiskan atau subjudiskan kes tersebut, tetapi saya terpanggil dek berasa sesuatu fikiran yang tidak sepatutnya berada di dalam benak hati si perempuan tersebut.

3. Sebagai orang Melayu dan beragama Islam, kita seharusnya perlu memahami Perlembagaan kita sewajarnya, kerana setiap kepentingan Melayu dan Islam termaktub dan seharusnya harus didasari kepada Perlembagaan negara kita. Bukan be-erti meninggikan Perlembagaan dari Al-Quran dan As-Sunnah (Al-Quran dan As-Sunnah tetap mendahului segalanya), tetapi jatuh bangun Islam dalam konteks Malaysia bergantung kepada pemahaman ummatnya tentang kerangka Perlembagaan, jika tidak orang lain boleh mempertikaikan lunas-lunas yang kita gariskan, sedangkan pertikaian itu tidak cocok dengan Perlembagaan bahkan Perlembagaan memberikan suatu yang sangat ISTIMEWA terhadap Islam dan Melayu.

4. Ataupun, sekurang-kurangnya kita boleh menjawab isu-isu tertentu dengan mudah bersandarkan kepada Perlembagaan kepada mereka yang seperti dan seolah tidak mahu memahami Perlembagaan. Apa itu Perlembagaan serta mengapa sesuatu peruntukan di dalam Perlembagaan di gubal seolah dipandang sepi. Mereka terus berjuang dalam paksi kononnya kesamarataan dan keadilan. Persoalannya, benarkah Perlembagaan tidak adil? Mungkin tidak adil bagi mereka yang tidak faham akan semangat dan ruh Perlembagaan.

5. Siapa Melayu? Artikel 160 Perlembagaan mendefinisikan Melayu sebagai 'a person who professes the religion of Islam (substituted for Muslim religion by Act A354 s 45 in force from 27 August 1976) habitually speaks the Malay language, conforms to Malay custom.." Jelas, konsep dan makna Melayu sangat luas. Sesiapa sahaja boleh jadi Melayu, maknanya tidak terhad kepada seseorang itu perlu dari keturunan Melayu jati. Kerana apa? kerana perkataan yang digunakan adalah 'a person' iaitu seseorang. Ia tidak menggunakan perkataan 'seseorang dari keturunan Melayu'. Walau bagaimanapun, itu bukanlah satu-satunya syarat. Syarat seterusnya ialah, 'profess' agama Islam, bercakap bahasa Melayu dan 'conform' adat Melayu. Jika dilihat kepada syarat-syarat ke-Melayuan dari kacamata Perlembagaan, itulah kayu ukur dan parameternya. Menariknya, bagi syarat kedua dan keempat, perkataan yang diguna adalah 'profess' dan 'conform', adakah kedua-dua perkataan tersebut juga beerti 'practice'? Jawapannya tidak, maka syarat yang dilunaskan Perlembagaan agak longgar, dalam erti kata lain jika seseorang itu tidak 'practice' agama Islam dan tidak 'practice' adat Melayu, dia tetap Melayu asalkan cukup sekadar dia 'profess' Islam dan 'conform' adat Melayu. Hal ini telah pun diputuskan oleh Mahkamah Tinggi (perkara berkenaan Melayu tidak disentuh Mahkamah Persekutuan, maka ianya adalah prinsip Undang-Undang yang mantap) di dalam kes Lina Joy v. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan [2004]6 CLJ 242. Disebabkan antara faktor ini, Mahkamah (disahkan oleh Mahkamah Persekutuan) menyatakan untuk keluar daripada Islam ianya di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Walaupun dia tidak praktis Islam dan tidak praktis adat Melayu, tetapi masih ada keterangan menyatakan dia masih 'profess' Islam dan ikut adat Melayu.

6. Bukankah Perlembagaan mengesahkan 'freedom of religion'?. Ya benar. Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan mengesahkannya. Maka, mengapa tidak saja diberikan kebebasan beragama kepada Lina Joy?. Jawapannya, soalan itu tidak sewajarnya disoal jika seseorang itu faham serta mahu memahami Artikel 11. Masalah timbul bilamana seseorang tidak faham Artikel 11, cuba memanipulasikan peruntukan ini dalam ruang lingkup kebodohon dan kedangkalan ilmu serta kecetekan akal fikiran mereka. Minta mereka baca Artikel 11 betul-betul.

7. Sub (1) menyatakan 'Every person has the right to profess and practice his religion and, subject to cl. (4), to propagate it'. Jelas daripada maksud ayat ini menunjukkan bahawa Artikel 11 mengesahkan kebebasan beragama, dan bukannya kebebasan memilih agama kerana kedua-duanya adalah berbeda. Ia juga memberi erti bahawa tidak ada sebarang kekangan kepada mana-mana individu untuk mempraktikkan agamanya di negara ini iaitu agama asalnya. Cumanya, ada peruntukan yang istimewa kepada Islam dimana sub(1) juga tertakluk kepada sub (4), yang menyatakan 'State law and in respect of the Federal Territories of Kuala Lumpur and Labuan, Federal law may control or restrict the propagation of any religious doctrine or belief among persons professing the religion of Islam.' Nah, sudah jelas lagi bersuluh. Bahkan sub (5) menyatakan bahawa 'This article does not authorise any act contrary to any general law relating to public order, public health or morality'.

8. Lihat juga artikel ahli undang-undang ternama negara Professor Ahmad Ibrahim 'The position of Islam in the Constitution of Malaysia' yang dipetik dalam buku Constituton of Malaysia: Its Development: 1957-1977 di edit oleh Tun Mohamed Sufian, H.P Lee, F.A. Trinidade pada halaman 51.

9. Maka, Mahkamah adalah betul bilamana menolak permohonan Lina Joy (nama Islam Azlina Bt Jailani)itu. Maka juga, mengapa perlunya perkataan Allah di dalam Bible? Apakah Allah bagi orang Islam sama seperti maksud 'Allah' yang akan di nyatakan di dalam Bible kelak? Di sini saya kurang bersetuju dengan pendapat penulis tersebut. Penulis menyatakan dia punyai latar belakang ilmu yang agak baik, lulusan daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam tempatan. Mengadu dombakan bahawa mengapa perlu 'dibising-bising' isu ini, kerana dia dapat paham agama Islam, jika tak paham itu salah orang yang sepatutnya menyampaikan Islam. Beliau juga membaca Bible dan tertarik kerana mudah difahami dan cerita yang menarik. Tak salah membaca Bible, tak salah membaca Veda dsb. Katanya, dia dapat membezakan antara Allah pada agama Islam dan Allah pada agama Kristian. Jika beliau dapat bezakan.. tidak mengapa, baik padanya. Tetapi orang lain? Bukankah ada prinsip Sadda Zaraik dalam Islam. Saya tak pasti samada dia tahu akan kewujudan prinsip itu. Sya juga tidak pasti samada beliau membelek terlebih dahulu Perlembagaan Persekutuan sebelum menyatakan pendapatnya.

10. Bukankah sub (4) dan (5) Artikel 11 sudah amat jelas untuk tujuan itu. Atau tidakkah sekurang-kurangnya ianya di bawah premis 'public order'? kerana majoriti masyarakat kita adalah Melayu Islam. Saya mahu dia berfikir. Jangan cepat melatah.

11. Sebenarnya, sepatutnya tidak timbul isu perkauman dan agama di negara ini jika semua pihak dan individu bertanggungjawab mengkaji sejarah serta mendalami asal-usul Perlembagaan Persekutuan. Masalah timbul bila, semua orang nak bercakap, walhal dia langsung tidak mengerti sedalamnya apa yang mahu diperkatakannya dan tidak punyai ilmu yang cukup, hanya bersandarkan kepada logik akal dan emosi.

12. Semua pihak perlu tahu Perlembagaan Persekutuan dan sejarah negara terutamanya Melayu. Jika perkara ini dipandang sepi, maka isu agama dan perkauman mungkin akan terus berlanjutan.