- Umum mengetahui bahawa Syarikat Penerbangan Air Asia merupakan syarikat penerbangan tambang murah pertama di Asia. Sebagai mendekati masyarakat kebanyakan ketika awal penubuhan dan perkenalannya pada tahun 1993 dan mula beroperasi pada 18 November 1996, Syarikat Penerbangan Air Aisa telah mencetuskan suatu tanda nama ‘Now everyone can fly’ atau dalam bahasa Malaysia ‘sekarang semua orang boleh terbang’.
- Tidak dapat dinafikan, sewaktu awal penubuhan dan perkenalannya dengan masyarakat, tanda nama tersebut amat terkesan di hati masyarakat yang antara lain telah sedikit sebanyak meluputkan perasaan dan tanggapan serta persepsi bahawa hanya mereka yang berkemampuan sahaja mampu menaiki kapal terbang sebagai alat pengangkutan ke destinasi tertentu. Maka kelahiran Syarikat Penerbangan Air Asia sebagai syarikat penerbangan alternatif dalam negara seringkali diperkatakan oleh sebahagian masyarakat negara ini, walaupun ketika itu tidak banyak destinasi penerbangan yang di tawarkan dek lantaran harga tambangnya yang sangat murah berbanding syarikat penerbangan yang lain.
- Masih lagi segar dalam ingatan penulis bahawa, ketika pada era ‘setahun jagungnya’, terngiang dalam kotak fikiran penulis, mana mungkin syarikat penerbangan ini mampu bertahan kerana, apalah sangat keuntungan yang mampu diperolehi jika dilihat kepada harga tiket penerbangan yang ditawarkan. Masih teringat pada waktu tersebut, Air Asia sering menawarkan tiket berharga hanya RM1 ke destinasi pilihan tertentu dan adakalanya dengan membuat tempahan awal, penumpang hanya perlu membayar cukai lapangan terbang sahaja.
- Ternyata, jangkaan penulis kini meleset. Pada 2 haribulan Julai 2010 yang lalu, penulis telah bertuah kerana berkesempatan menyertai sesi lawatan bersama perserta dan calon-calon kursus Pusat Penilaian Kompetensi (PPK) yang lain ke Low Cost Carrier Terminal (LCCT), Sepang. Di sana, penulis melihat betapa, dahulunya Syarikat Penerbangan Air Asia yang kerdil telah sekarang menjadi salah sebuah syarikat penerbangan yang wajib disegani. Jika dahulunya, hanya beberapa destinasi domestik sahaja yang ditawarkan, sekarang terdapat pelbagai destinasi bukan sahaja domestik malahan antarabangsa.
- Kami juga ditaklimatkan oleh wakil daripada pihak Air Asia bahawa Syarikat Penerbangan Air Asia telah memenangi beberapa anugerah dan yang terkini pada bulan Jun 2010, Air Asia telah dianugerahkan sebagai pemenang Best Low-Cost Airlines Worldwide dan Best Low-Cost Airlines Asia. Penulis percaya, dengan anugerah tersebut, nama Syarikat Air Asia telah mekar dan dikenali masyarakat antarabangsa dan kewujudannya telah dirasai bukan melalui kelemahan dan keburukan, tetapi melalui namanya yang harum dan gah di persada antarabangsa.
- Kalau dahulunya, kita hanya kenali Air Asia sahaja, tetapi sekarang, Syarikat Penerbangan Air Asia telah melebarkan sayap keperkasaannya di beberapa negara lain dengan menubuhkan anak-anak syarikat seperti Thai AirAsia, Indonesia AirAsia, Viet Jet AirAsia dan Air Asia X. Malahan Air Asia juga telah mempunyai anak syarikat yang mengoperasikan hotel di beberapa lokasi yang dikenali sebagai Tune Hotels serta juga telah menceburi bidang telekomunikasi yang dikenali sebagai Tune Talk. Justeu berdasarkan kepada perkembangan tersebut, maka selayaknyalah, Syarikat Penerbangan Air Asia memenangi beberapa anugerah yang dimenanginya selama ini.
- Terlintas dihati penulis, apakah dasar dan asas-asas kepada kemenangan Syarikat Air Asia ini, kalau bukan kepuasan hati penumpang dan syor positif mereka. Maka, tanpa kita sedari, semuanya dan segalanya adalah tuntas kepada perkhidmatan yang sangat baik yang telah dianjurkan kepada semua penumpang-penumpang Air Asia. Ini adalah kerana, jika tiada kepuasan hati penumpang, dan tiada syor positif daripada penumpang, maka mustahil untuk Syarikat Penerbangan Air Asia memenangi anugerah-anugerah tersebut. Penulis percaya, perkhidmatan yang terbaik wajib selari dengan kehendak penumpang, walaupun Air Asia adalah syarikat penerbangan tambah murah.
- Terpahat dalam ingatan penulis, sepertimana ditaklimatkan oleh wakil Air Asia tersebut, biarpun Air Asia adalah syarikat penerbangan tambang murah, bukanlah bermakna perkhidmatan yang ditawarkan juga adalah murah. Bahkan Air Asia sering melakukan perubahan dan anjakan positif bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan demi menjamin sokongan mereka kepada Air Asia. Penulis juga ditaklimatkan bahawa, Air Asia sedang membina terminal terbarunya di KLIA-Timur, Labu yang menelan belanja 460 juta dolar setelah mendapat kebenaran kerajaan pada awal Februari 2009.
- Maka apa yang dapat dijadikan pengajaran bahawa, kemenangan dan kejayaan bukanlah suatu yang timbul dengan segera dan serta merta, tetapi ianya menuntut kepada pengorbanan dan usaha yang gigih biarpun sekecil mana kita. Walaupun bermula dengan kecil, tetapi jika kita mempunyai jiwa yang besar, cita-cita yang tinggi, keazaman yang kental dan idea yang malar segar, nescaya kita mampu melonjakkan paradigma dan keberhasilan kita.
- Lihat sahaja pada Air Asia, bukan sahaja mereka punyai apa yang telah disebutkan di atas, tetapi sistem yang teratur dan mantap juga telah menjadi pendorong dan pemangkin kejayaan mereka masa kini dan masa akan datang. Tidak guna jika kita punyai idea yang membuak-buak, tetapi sistem dan tatacara kita pincang, kerana sistem yang pincang itu pasti akan membunuh dan membantutkan idea bernas yang dicanangkan. Setiap kejayaan pastinya diperolehi dengan cara susun atur system yang betul dan tepat.
- Penulis melihat, dengan melahirkan idea harga tambang murah, Air Asia telah menjadi sistem pengangkutan yang berlainan dengan syarikat penerbangan yang lain. Untuk berlainan dengan yang lain bukanlah suatu kejanggalan, malahan mungkin akan menjadi pilihan jika kena dengan caranya bahkan sifat keberlainan itu juga dapat menjuarakan idea-idea yang segar tadi di dalam memastikan kejayaan di masa hadapan. Sikap inilah yang sangat jarang kita temui masa kini pada setiap individu. Untuk berlainan dengan rutin seringkali dilihat sebagai penongkah arus.
- Lihat sahajalah Air Asia sebagai contoh dengan sikap berlainan dan berlapang dada yang ditunjukkan, mereka tidak meletakkan keuntungan yang serta merta menjadi sandaran, tetapi biarpun mengaut keuntungan yang minima melalui harga tiket yang sangat rendah, tetapi mereka optimis untuk memenangi hati pelanggan dan mencitakan keuntungan dan kejayaan jangka panjang yang berterusan. Sikap beginilah yang seharusnya menjadi contoh dan teladan kepada kita semua, dan sepatutnya kita renungkan.
- Melalui lawatan tersebut juga, penulis berkesempatan untuk meninjau dan melihat bagaimana kakitangan Air Asia berkerja. Penulis dapat melihat, pakaian pekerja adalah bebas secara kasual tetapi kemas. Perkara ini juga suatu yang berlainan pada pendapat penulis. Dalam erti kata lain, pekerja dan kakitangan Air Asia dianjurkan untuk merasai dan bersama dengan pelanggan tanpa ada sedikit perbezaan kepada keterampilan mereka.
- Penulis juga hairan dengan cara penempatan kakitangan Air Asia di dalam pejabat. Tiada bilik –bilik khas pegawai, bahkan pegawai dan kakitangan diletakkan secara terbuka pada ruang pejabat mereka, dan ini telah ditaklimatkan oleh wakil Air Asia sebagai melahirkan semangat satu pasukan dan kebersamaan antara mereka. Penulis terpanggil untuk merasai betapa indahnya idea tersebut. Melaluinya tiada perbezaan darjat antara pegawai dan kakitangan, bahkan ianya pasti melahirkan suasana kerja yang rancak demi mencapai cita-cita yang satu iaitu kejayaan, kerana kejayaan bukan sahaja dicapai melalui usaha pegawai semata-mata, bahkan ianya usaha kolektif keseluruhan organisasi Air Asia.
- Penulis juga terkesima dengan cara kakitangan Air Asia berkerja dalam memenuhi hasrat organisasi dan pelanggan. Masing-masing menumpukan perhatian penuh kepada kerja mereka, suasana sangat senyap bahkan kehadiran kami seolah tidak dirasai mereka dek kekhusyukkan melakukan kerja yang diamanahkan. Alangkah baiknya jika semua organisasi tidak kira swasta atau kerajaan mencontohi cara kakitangan Air Asia berkerja.Merenung sejenak kepada apa yang diperhatikan oleh penulis, dengan disiplin yang tinggi, seseorang individu dan organisasi tertentu pasti akan memperoleh kejayaan.
- Secara kesimpulannya, penulis berpendapat kita sewajarnnya mengambil pengiktibaran dan contoh dengan merenung bagaimana Syarikat Air Asia berjaya meletakkan nama mereka se-gah kini yang telah dihasilkan melalui cara mereka memberikan perkhidmatan kepada penumpang dan pelanggan. Biarpun terdapat kekurangan di sana- sini, tetapi Air Asia tidak sunyi daripada terus berusaha memperbaiki mutu dan kualiti perkhidmatan biarpun hanya bergelar syarikat penerbangan tambang murah. Dengan menyertai lawatan tersebut juga, penulis dapat mempelajari dan memperbaiki diri dengan mengambil contoh yang baik di sana dan berharap ianya dapat diterjemahkan dalam tindakan penulis pada hari yang mendatang.
"Anak bangsa, demi bangsa, untuk bangsa..." suatu wejangan ikhlas demi melihat personifikasi wacana bukan sekadar retorik...
Friday, October 1, 2010
LAWATAN KE AIR ASIA - suatu pengalaman berharga
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment