Friday, October 26, 2012

Aidil Adha di Perantauan - Nottingham, UK

1. Pertama kalinya saya ingin mengucapkan salam Aidil Adha buat seluruh rakyat Malaysia. Allahuakbar.. Allahuakbar.. Allahuakbar!

2. Ini adalah kali pertama dalam hidup saya berdepan dengan suasana Hari Raya Aidil Adha di perantauan nun jauh dari kampungku di Pulau Pinang, Malaysia.

3. Ketika waktu petang, jam menunjukkan pukul 12.30 pm, disuatu bilik yang sunyi bahkan dikawasan yang suasananya juga agak sunyi, tetiba saya terdengar alunan keramat yang yang sangat meruntun jiwa dan perasaan. Waktu itu, saya sedang melayari internet dan FACEBOOK, sambil diri duduk di atas sebuah kerusi yang pandangannya menghadap ke luar rumah. Ya, berada di hadapan cermin tingkap bilik. Suhu persekitaran adalah sekitar 9 darjah selsius.

4. Tetiba, jari jemari saya kaku, terdiam, terkesima, terpana.. itulah alunan takbir raya yang dikumandangkan di radio Suria.FM. Waktu di Malaysia ketika itu saya percaya dalam sekitar jam 7.30 malam. Terdetik di fikiran, 'apakah betul aku ini, dikala petang mahu menyambut Aidil Adha, aku di mana sekarang ini?'. Secara jasadnya, saya berada di dalam suasana bilik yang hening, dan suasana yang sejuk dan dingin. Pasti, petang sebegini, kalau saya di Malaysia, sudah semakin sibuk di dapur, bukan memasak tetapi melihat ibu saya yang sangat sibuk menyediakan apa sahaja yang perlu untuk meraikan kedatangan hari mulia Aidil Adha.

5. Ikhlas, saya katakan, tiba-tiba saya rasa sayu bilamana terkenang ibu dan ayah saya, keluarga saya, isteri saya, anak saya (si pintar comel Nuha, yang hanya sempat bersama saya hanya beberapa jam), kaum kerabat saya, bahkan si Boboy kucing kesayangan saya. ya, 'apa betul aku ini??'. Dimana mereka ketika itu, apakah yang sedang dilakukan oleh mereka?.

6. Terus jari jemari memetik keyboard telefon bimbit mengucapkan salam Aidil Adha kepada rakan-rakan melalui WHATSAPPS. Hahahaha.. amat lucu saya ini.

7. Saya sedar, di sebalik kemulian Aidil Adha yang mempamerkan kemuliaan pengorbanan insan, dicelah itulah juga, saya merasakan pengorbanan bagi saya untuk Aidil Adha kali ini adalah berada di perantauan, meninggal anak dan isteri serta keluarga jauh di kampung halaman. Ini takdirnya yang saya perlu hadapi sebagai insan kerdil disisiNya yang bergelar pelajar di bumi asing.

8. Allahuakbar... Allahuakbar... Allahuakbar. Kalau dulu, di pagi raya, saya akan bersolat di surau kampung saya, dan diamanahkan membaca khutbah Aidul Adha, tetapi kali ini, Aidil Adha untuk tahun 2012, saya meraikan dalam kesunyian dan kesyahduan di bumi Nottingham, UK ini. Suasana amat berbeda, bahkan langsung tidak serupa. Itulah realitinya. Barulah saya sedar, mungkin inilah yang dirasai oleh mereka yang berada jauh diperantauan ketika menjelangnya hari raya.

9. Tipu jika saya tidak terbayangkan ketupat, rendang, lemang, lontong, laksa dan sebagainya. Apatah lagi raya Aidil Adha, pasti akan ada yang akan buat kenduri, mee kuah, meehun sup dan lain-lain hidangan lagi.. ohhh.. syahdunya!!!!

10. Pengorbanan, inilah pengorbanan. Moga Allah memudahkan urusan saya di sini, dan moga Allah membalas pengorbanan saya ini dengan ganjaran yang lebih besar.. Ameen.

No comments: