Friday, October 1, 2010

Patutkah Pelajar Dihukum Kerana Bergiat Aktif Dalam Bidang Politik?

  1. Para pelajar universiti atau juga dikenali sebagai golongan mahasiswa acapkali dilihat sebagai suatu kelompok harapan yang bakal meneruskan agenda memacu serta membudayakan kejayaan negara ini dikemudian hari. Golongan ini seringkali dijadikan sebagai kayu ukur untuk mencongak kelestarian pembangunan serta kepimpinan negara, bahkan adalah tidak menjadi keterlaluan untuk dikatakan bahawa jatuh bangun masa hadapan sesebuah negara bangsa bergantung kepada golongan ini.

  2. Sudah tentu, dalam proses memperkasakan golongan ini, mahasiswa tidak dapat lari daripada berhadapan dengan pelbagai corak dan rekayasa idealisme yang sudah lama mengakar dan menjadi pegangan mana-mana pertubuhan serta organisasi pelajar di peringkat kampus. Dengan membudayakan idealisme tersebut, maka mahasiswa percaya setiap rencana yang digarab bakal memperlihatkan mereka sebagai pejuang dan pemenang hak keseluruhan masyarakat mahasiswa bahkan ada yang mengandaikan mereka sebagai golongan yang sentiasa menyuarakan pendapat dan suara masyarakat umum. Hal demikian, pada pendapat penulis memerlukan kemahiran dan seni berpolitik ala kampus.

  3. Walau bagaimanapun, dalam usaha mereka memugar idealisme, arus tindakan yang diambill seringkali tersasar serta dibayangi oleh mana-mana pertubuhan politik luar, sedangkan mereka tidak seharusnya alpa bahawa apa jua tindakan yang diambil perlulah secocok dengan status serta adab tata susila mereka sebagai mahasiswa tanpa pengaruh mana-mana politik luar arus perdana yang bersifat kepartian bahkan sudah semestinya segala daya usaha yang digerakkan perlulah tuntas kepada kaedah-kaedah yang telah termaktub di dalam peraturan-peraturan universiti serta Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU 1971). Harus diingat bahawa, tindakan di bawah AUKU 1971 yang berbentuk hukuman tatatertib boleh diambil terhadap mana-mana mahasiswa yang melanggar batas-batas yang ditetapkan di bawah AUKU 1971 apabila bergiat aktif di dalam politik kepartian.

  4. Menyedari serta menginsafi akan hakikat ini, maka penulis akan membincangkan, apakah wajar bagi pelajar dihukum apabila terbukti bahawa mereka bergiat aktif dalam bidang politik.

  5. Maka apabila kita berbicara berkenaan AUKU 1971, terdapat suara-suara picisan yang mencanangkan bahawa hak serta kebebasan mahasiswa bersuara dan berpolitik disekat sedangkan sebagai sebahagian daripada warganegara, hak mereka untuk menganggotai mana-mana pertubuhan serta menyuarakan pendapat adalah suatu hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Justeru, apabila mana-mana individu mahasiswa ditahan serta dibicarakan kerana telah mencabuli peruntukan AUKU 1971, seringkali dipersonifikasikan mereka ini sebagai golongan yang dinafikan hak dan kebebasan lantaran kebobrokan AUKU 1971.

  6. Menyingkap peruntukan undang-undang di bawah AUKU 1971 khususnya seksyen 15 AUKU 1971, prasyarat serta lunas-lunas telah dengan jelas diungkap. Seksyen 15(1)(a) dan seksyen 15(2)(a) sudah dengan terang melarang mahasiswa daripada menganggotai mana-mana parti politik serta terlibat dengan mana-mana pertubuhan yang bersekutu dan bersekongkol dengan mana-mana parti politik.

  7. Sebagai hukuman bagi mahasiswa yang bergiat aktif dalam pertubuhan politik, subseksyen (7) bagi seksyen 15 AUKU 1971 memperuntukkan bahawa tindakan disiplin harus diambil bagi mahasiswa tersebut. Ini jelas bahawa, peruntukan AUKU 1971 bukan hanya menetapkan kaedah-kaedah tertentu, bahkan memperuntukkan juga hukuman-hukuman tertentu apabila mana-mana peruntukannya telah dicabar sepertimana s 16C AUKU 1971.

  8. Kendatipun begitu, berdasarkan kepada perubahan landskap budaya pemikiran dan keterbukaan minda, s 15 AUKU telah dipinda dengan memberikan sedikit kelonggaran kepada mahasiswa untuk terlibat di dalam politik kepartian. Namun, kelonggaran tersebut adalah bersandarkan kepada lunas-lunas tertentu yang akan ditentukan oleh Menteri. Jika diperhatikan secara halus, pindaan tersebut bukanlah dibuat berdasaran kepada kebobrokan s 15 AUKU 1971 khususnya dan AUKU 1971 amnya, tetapi pindaan tersebut adalah lebih bersifat menyeluruh dan holistik dalam menggayakan AUKU 1971 di persada manifestasinya berkenaan pentadbiran universiti dan pelajar. Hal ini dapat dilihat melalui objektif pindaan AUKU 1971 yang disuarakan Menteri semasa di sidang Dewan Rakyat.
    “Saya melihat secara positif pindaan AUKU ini akan dapat memperbaiki tadbir urus universiti dan pendidikan tinggi secara holistik kerana:-

    (i) menambah baik proses perundingan secara demokrasi dari segi pelantikan Naib Canselor, Ketua Kampus, Keanggotaan Senat, Pelantikan Dekan, ketua sekolah, institut, pusat dan akademik;

    (ii) keterbukaan, ketelusan dan accountability dengan menubuhkan
    Jawatankuasa Pengurusan Universiti yang bertujuan untuk menasihati Naib Canselor;

    (iii) menambah autonomi kepada universiti dengan memindahkan beberapakuasa Yang di-Pertuan Agong dan menteri kepada Lembaga Pengarah Universiti, Senat, dan Naib Canselor;

    (iv) memberikan perincian pembahagian fungsi dan kuasa Lembaga Pengarah Senat dan Naib Canselor dengan lebih jelas dan teratur;

    (v) penyelesaian pertikaian antara pihak berkuasa universiti boleh dijalankan dengan lebih berkesan dengan penubuhan satu panel penyelesai pertikaian;

    (vi) penyelidikan inovasi dan pengkomersialan akan dapat dihebatkan kerana dibolehkan pemindahan dan wujud mobiliti perkhidmatan pekerja dan pensyarah antara universiti-universiti;

    (vii) pengantarabangsaan pendidikan tinggi akan dapat dicapai kerana pindaan akta ini membenarkan menteri untuk menubuhkan kampus cawangan universiti di luar negara;”

  9. Menyonsong seksyen 15 AUKU 1971 juga, Naib Canselor sepertimana subseksyen (4) diberikan kuasa untuk mengecualikan mana-mana individu mahasiswa untuk menganggotai mana-mana pertubuhan parti politik, dan hal ini juga terletak hak kepada Naib Canselor untuk menentukan syarat-syarat yang difikirkan wajar olehnya. Maka jelas terdapat kelonggaran untuk mahasiswa menganggotai serta menjadi ahli mana-mana pertubuhan politik berdasarkan peruntukan ini walaupun bersyarat.

  10. Konotasi yang dapat digarab adalah, bukanlah mahasiswa disekat hak dan kebebasan mereka bersuara sepertimana diwar-warkan, bahkan seksyen 15 dengan jelas memberikan kelonggaran yang luas untuk mereka berbuat demikian, asalkan tidak terlibat dengan pertubuhan yang menyongsang daripada batas-batas keluhuran sebagai warganegara dan adab tatasusila seseorang yang bergelar mahasiswa.

  11. Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan telah memberikan kebebasan dan hak untuk mana-mana warganegara untuk bersuara serta hak menganggotai mana-mana perhimpunan dan pertubuhan. Begitu juga dengan perkara 2, 3, 6, 19 dan 20 The Universal Declaration of Human Rights (UDHR). Tetapi persoalannya, adakah hak dan kebebasan ini merupakan sesuatu yang ekslusif dan mutlak tanpa batas-batas serta norma-norma tertentu?

  12. Menuruti kerangka Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, jelas di bawah klausa (2)(C) serta klausa (3), satu konotasi yang jelas dapat dilihat, iaitu hak dan kebebasan ini bukanlah sesuatu yang mutlak, tetapi adalah terbatas bertunjangkan kepada keselamatan negara, ketenteraman awam dan berkaitan isu moral.

  13. Justeru, mana-mana peraturan universiti selaras s 16C AUKU 1971 yang membataskan penglibatan aktif mahasiswa dalam politik serta menyediakan hukuman tertentu, bukanlah sesuatu yang akas kepada Perlembagaan Persekutuan kerana s 16C memberikan kuasa kepada pihak universiti untuk berbuat demikian tuntas kepada perkara 10(2)(c) dan (3) Perlembagaan Persekutuan.

  14. Maka kewajaran mengapa mahasiswa dilarang daripada bergiat aktif dalam politik selaras peruntukan s 15 AUKU 1971 adalah untuk memastikan kebajikan dan keselamatan mahasiswa keseluruhannya terjamin serta memelihara institusi pengajian daripada terpesong daripada matlamat utama melahirkan cendiakawan generasi pewaris kepimpinan negara.

  15. Menyinsing isu ini, terngiang di minda saya ungkapan seorang tokoh politik muda (ketika itu) Hishamuddin Rais yang menyatakan “hanya anak muda saja yang bisa mendobrak zaman”. Antara lain ianya memberikan pengertian bahawa hanya mahasiswa sahaja yang mampu menjana serta menggiatkan perubahan negara. Ironinya, apakah peranan golongan tua kebanyakan tidak boleh disandarkan tanggungjawab sebagai agen perubahan?

  16. Pada pendapat penulis, ada juga kebenarannya pada ungkapan tersebut, kerana golongan muda mahasiswa merupakan golongan yang semangat mereka berkobar dan mempunyai idea segar mahu melihat negara yang tercintai berkembang maju. Justeru, mereka boleh sahaja berjuang dalam kelompok mahasiswa demi mengangkat martabat negara bangsa. Berjuang dalam lapangan ini, bukan hanya boleh dicapai melalui introdiknasi dan bergiat aktif dalam politik kepartian. Jika parti politik berjaya sebagai ‘agen perubahan’, mana contoh yang ada yang dapat kita persembahkan di mata masyarakat?

  17. Dengan persatuan, tanzim dan organisasi yang ada pada ketika ini, pada pendapat penulis, ianya sudah cukup untuk membina sahsiah, keterampilan dan karisma bakal pewaris kepimpinan negara. Selain boleh bergiat aktif dalam pelbagai pertubuhan yang memperjuangkan objektif pelbagai di peringkat universiti yang melimpahi peranan mereka pada masyarakat luar, mahasiswa juga dibenarkan terlibat dalam ‘parti politik kampus’ semasa pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar universiti masing-masing. Umum mengetahui bahawa politik kampus ketika pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar adalah persis kepada konsep pilihanraya kepartian di luar. Melalui saluran ini, sewajarnya mahasiswa dapat mempelajari selok belok budaya berpolitik serta sepatutnya memugar idea politik bersih dan menjadi contoh semasa berjuang di pentas arena politik kepartian di luar setelah tamat pengajian kelak.

  18. Kita dapat melihat banyak contoh-contoh pemimpin serta bekas pemimpin negara pada suatu ketika bergelar pelajar dan mahasiswa, berjuang bukan sahaja untuk mahasiswa di peringkat universiti tetapi juga turut berjuang untuk masyarakat dan rakyat marhaain.

  19. Secara kesimpulannya, jawapan bagi persoalan mauduk ini pastinya mengiyakan kewajaran mahasiswa di kenakan hukuman apabila dengan sorih dan nyata terbukti bahawa mereka terlibat dengan politik kepartian luar. Kewajaran ini bukanlah secara objektifnya mahu menghukum individu mahasiswa terbabit semata-mata, bahkan ianya mencakupi tujuan yang lebih menyeluruh iaitu matlamat memperkasakan mahasiswa dari segi sahsiah, keterampilan dan budaya ilmu seterusnya melonjakkan nama universiti dan Institusi Pengajian Tinggi tempatan ke peringkat yang disegani dunia sebagai sebuah institusi ilmu ulung.

  20. Berdasarkan kepada perbincangan di atas juga menampakkan bahawa cacaian mengatakan golongan mahasiswa dinafikan hak bersuara dan beroganisasi adalah sama sekali tidak tepat dan hanya bersifat omongan semata-mata bahkan berbaur agenda terselindung tertentu. Jelas AUKU 1971 tidak menyekat bahkan bukanlah suatu bentuk sekatan (pada pendapat penulis), sebaliknya ianya adalah suatu tatacara untuk mahasiswa bergerak mengorak langkah membudayakan ilmu dan norma-norma positif selari dengan dasar dan Pelan Strategi Pendidikan Tinggi Negara.

  21. Memang benar, tedapat galakan mahupun persatuan serta pertubuhan mahasiswa di universiti luar negara yang condong secara terangan menyokong mana-mana parti politik luar seperti Nipissing University, Canada dan Oxford University Labour Club. Persoalannya, adakah kesemua yang di luar itu secocok dan muluk-muluk untuk diterima pakai di Institusi Pengajian Tinggi tempatan? Sedangkan kita punyai pelbagai persatuan dan pertubuhan mahasiswa berdaftar yang banyak seperti Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), bergerak secara non-partisan kepada mana-mana parti politik yang telah dari dulu mengakar dan merimbun memperjuangankan bukan sahaja hak dan kebajikan mahasiswa bahkan rakyat keseluruhannya. Maka isu AUKU 1971 dikatakan melesukan mahasiswa dan menyebabkan kebejatan pemikiran mahasiswa adalah suatu pendapat yang ngobrol.

  22. Akhirnya, molek kiranya penulis memetik kata-kata seorang pejuang zaman Mohamad Natsir yang juga dikenali ‘Pak Natsir’ sebagai menyokong penulisan makalah ini sebagai renungan bersama, “Pemimpin tidak lahir di bilik kuliah, tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas di kancah, muncul ditengah-tengah pengumulan masalah, menonjol dari kalangan rakan-rakan seangkatannya lalu diterima dan didukung oleh umat”.

No comments: